NEW DELHI, 5 Ogos – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., disambut secara rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi, dalam satu upacara sambutan negara di sini pada Selasa sempena lawatan negara beliau ke India.
Presiden Marcos turut disambut Presiden India, Droupadi Murmu, serta Menteri Luar, Subrahmanyam Jaishankar, sebelum beliau menziarahi tugu peringatan Rajghat bagi memberi penghormatan kepada tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi.
Lawatan lima hari Presiden Marcos ke India bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang kerjasama maritim, pertahanan, farmaseutikal dan pertanian.
Lawatan itu menyusul selepas angkatan tentera laut Filipina dan India mengadakan pelayaran bersama buat kali pertama di Laut China Selatan pada Ahad (3 Ogos), menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa kedua-dua negara.
Langkah tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Filipina untuk mengimbangi tuntutan meluas China di kawasan perairan strategik berkenaan.- REUTERS