PHNOM PENH, 26 Julai - Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bersetuju dengan cadangan gencatan senjata bersama Thailand yang dikemukakan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manet menerusi hantaran Facebook memaklumkan beliau bersetuju dengan gencatan senjata itu kerana Kemboja bukan pihak yang memulakan pertempuran.
"Kunci kepada penyelesaian konflik bersenjata antara Thailand dan Cambodia pada masa ini adalah kesediaan sebenar pihak Thailand untuk menerima pelaksanaan gencatan senjata, yang merupakan langkah pertama ke arah mencari penyelesaian selanjutnya antara kedua-dua negara," menurut hantaran itu.
Manet menjelaskan bahawa terdapat laporan yang tidak jelas daripada beberapa media antarabangsa mengenai rundingan gencatan senjata yang dicadangkan oleh Datuk Seri Anwar selaku Pengerusi ASEAN semasa.
Persetujuan Manet terhadap gencatan senjata hanya dibuat selepas dimaklumkan oleh Datuk Seri Anwar bahawa Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, bersetuju untuk mengadakan rundingan damai.
Bagaimanapun, beliau menyatakan rasa kesal apabila Thailand kemudiannya menukar pendirian.
"Namun, amat dikesalkan apabila hanya sedikit lebih sejam kemudian, pihak Thailand memaklumkan bahawa mereka telah menarik balik persetujuan tersebut dan tidak lagi bersetuju dengan gencatan senjata pada waktu yang telah dipersetujui, sebaliknya memilih untuk menunggu ke satu tarikh lain," tambah kenyataan itu.
Datuk Seri Anwar sebelum ini berkata beliau telah menghubungi kedua-dua perdana menteri pada Khamis bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang sedang berlaku.
Pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand memuncak selepas anggota tentera kedua-dua negara terlibat dalam pertempuran pada pagi Khamis di kawasan Oddar Meanchey dan Preah Vihear.
Kedua-dua negara jiran itu telah lama bertelagah berhubung sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan, sekali gus menjejaskan hubungan diplomatik Kemboja-Thailand.