fb fb fb fb fb

Malim gunung selamatkan pendaki Malaysia di 'zon maut' Everest

(Foto REUTERS)

KATHMANDU, 1 Jun- Seorang pendaki Malaysia terselamat selepas malim gunung atau sherpa Nepal menariknya turun dari bawah puncak Gunung Everest bagi menyelamatkannya dari altitud tinggi.

Gelje Sherpa 30, sedang membawa pendaki warga China ke puncak Everest setinggi 8,849 meter (29,032 kaki) pada 18 Mei lalu dan dia melihat pendaki Malaysia berpaut pada tali dan menggigil akibat kesejukan melampau di kawasan yang dipanggil 'zon maut', di mana suhu mencecah -30 darjah Celsius atau lebih rendah.


(Malim gunung selamatkan pendaki Malaysia di 'zon maut' Everest/REUTERS)

Beliau menarik pendaki itu sejauh 600 meter (1,900 kaki) turun dari kawasan Balkoni ke South Col, dalam tempoh kira-kira enam jam, sebelum seorang lagi Sherpa, Nima Tahi, membantu menyelamat.

Sebuah helikopter mengangkatnya dari Kem III setinggi 7,162 meter (23,500 kaki) turun ke kem pangkalan.

"Hampir mustahil untuk menyelamatkan pendaki pada ketinggian itu," kata pegawai Jabatan Pelancongan Bigyan Koirala kepada Reuters. "Ia adalah operasi yang sangat jarang berlaku."

Gelje berkata, dia meyakinkan pendaki China itu tidak meneruskan percubaan ke kemuncak dan memaklumkan menyelamatkan pendaki itu adalah lebih penting.

Tashi Lakhpa dari syarikat Seven Summit Treks, yang menyediakan logistik kepada pendaki Malaysia itu berkata, pendaki itu telah menaiki penerbangan ke Malaysia minggu lalu.

Nepal mengeluarkan 478 permit untuk Everest semasa musim pendakian pada Mac hingga Mei tahun ini.

Sekurang-kurangnya 12 pendaki dilaporkan meninggal dunia iaitu jumlah tertinggi yang direkodkan selama lapan tahun dan lima lagi masih hilang di cerun Everest.-REUTERS

Media Baharu