fb fb fb fb fb

Malaysia seru pihak antarabangsa sokong cadangan Biden tamatkan konflik di Gaza

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden/Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 3 Jun - Malaysia menyeru pihak-pihak berkaitan menerima cadangan tiga fasa yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden untuk menamatkan segera pembunuhan rakyat Palestin dan konflik di Gaza.

Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini berkata, cadangan itu merupakan satu langkah yang tepat bagi menamatkan malapetaka berterusan di Gaza sekali gus pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Wilayah Palestin.

"Malaysia secara konsisten menggesa gencatan senjata yang kekal dan berkesan untuk segera menghentikan pembunuhan rakyat Palestin dan konflik di Gaza.

"Tiga fasa cadangan itu ialah gencatan senjata sepenuhnya, pembebasan tawanan dari kedua-dua pihak, usaha ke arah menamatkan permusuhan secara kekal, dan rancangan pembinaan semula yang komprehensif untuk Palestin.

"Justeru, masyarakat antarabangsa juga mesti mengutamakan bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin serta pembinaan semula Gaza," katanya.

Malaysia turut menggesa agar masyarakat antarabangsa mengutamakan bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin serta pembinaan semula Gaza.

"Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN