fb fb fb fb fb

Malaysia, Indonesia bincang hubungan ketenteraan

Foto Kementerian Pertahanan Indonesia

JAKARTA, 8 Februari- Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin pada Khamis bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara.

Syed Md Hasrin, yang diiringi Atase Pertahanan Brigedier Jeneral Azrin Iskandar Zulkaply dan Penolong Atase Pertahanan (Laut) Komander Nor Izam Baharudin bertemu Sjafrie di Kementerian Pertahanan Indonesia.

Perbincangan tertumpu kepada beberapa aspek utama termasuk mempererat hubungan pertahanan dua hala, cadangan penubuhan pasukan pengaman bersama serta penyertaan Malaysia dalam Latihan Maritim Pelbagai Hala Komodo Kelima (MNEK 5) di Bali, kata Nor Izam.

Dalam pertemuan itu, Syed Md Hasrin dan Sjafrie berpuas hati terhadap hubungan pertahanan yang lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

Duta Malaysia turut menegaskan bahawa hubungan pertahanan merupakan tunjang utama dalam hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Sejak 1972, Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia (GBC) memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kerjasama ketenteraan menerusi pelbagai program dan mesyuarat bersama.

Dalam pertemuan itu juga, Syed Md Hasrin menjemput Sjafrie untuk menghadiri Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA), yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 24 Mei.

Sektor industri pertahanan antara kedua-dua negara juga kekal kukuh, dengan syarikat Indonesia, PT Dirgantara (PTDI), bertanggungjawab dalam penyelenggaraan pesawat CN235-220 milik Malaysia yang dihasilkan oleh PTDI.

Turut dibincangkan ialah cadangan penubuhan Pasukan Pengaman Bersama, yang pada mulanya dicadangkan oleh Menteri Pertahanan Indonesia yang kini Presiden, Prabowo Subianto dalam Dialog Shangri-La 2024 di Singapura.

Syed Md Hasrin mengesahkan bahawa perbincangan masih berlangsung dalam Kementerian Pertahanan Malaysia, dan rundingan lanjut dengan Indonesia akan diadakan.

Berhubung latihan MNEK 5, beliau turut mengesahkan bahawa aset Tentera Laut Malaysia akan mengambil bahagian dalam latihan itu, sekali gus mencerminkan hubungan pertahanan yang erat antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Sjafrie memaklumkan bahawa beliau akan menghadiri Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Pulau Pinang dari 25 hingga 27 Feb, yang bertujuan memperkukuh kerjasama pertahanan serantau.

Beliau turut menyuarakan sokongan terhadap GBC Malaysia-Indonesia dan menyatakan keyakinannya mengenai cadangan Pasukan Pengaman Bersama.

Sjafrie juga memuji lawatan Prabowo ke Malaysia sebelum menjadi presiden serta menekankan kepentingan hubungan peribadi antara pemimpin kedua-dua negara, termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Beliau turut menyatakan harapan bagi kewujudan "ASEAN Standby Force", yang boleh digerakkan bagi menghadapi cabaran keselamatan serantau.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Indonesia dalam satu kenyataan memaklumkan, “Pertemuan ini adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara yang berkongsi sejarah dan hubungan budaya yang erat.”- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN