ANKARA, 9 Julai- Malaysia berhasrat membangunkan industri pertahanan menerusi kerjasama dengan Turkiye yang mempunyai kepakaran teknologi tersendiri di dalam industri itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu dibangkitkan semasa pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden di sini Khamis lepas dan juga semasa lawatan kedua syarikat pemain utama republik itu dalam bidang pertahanan serta aeroangkasa, MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI).
Katanya, pemodenan sistem pertahanan Malaysia secara berterusan mengambil kira perkembangan geopolitik semasa dan skop kerjasama melangkaui pembelian aset dan peralatan ketenteraan semata-mata.
“Sebaliknya melibatkan pelaburan dan pembuatan oleh pemain industri pertahanan antarabangsa di Malaysia. Pendekatan ini akan menguntungkan kita dari segi pemindahan teknologi, kepakaran dan penciptaan peluang pekerjaan, serta penglibatan pemain-pemain industri tempatan,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di akhir lawatan rasmi empat hari beliau ke Turkiye, di sini semalam.
Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai hab industri pertahanan moden di rantau ASEAN dan antara lain termasuk cadangan membeli dron ketenteraan dari Turkiye yang melibatkan pembukaan kilang di Malaysia.
Beliau berkata kerajaan bercadang mensyaratkan syarikat yang berjaya mendapatkan tender pembekalan dron itu untuk membina kilang di Malaysia dan ia akan dimuktamadkan sebaik cadangan pembelian dron diluluskan Kementerian Kewangan.
Malaysia dan Turkiye juga bersepakat untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin menamatkan kezaliman rejim Zionis dan merealisasikan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
“Kita akan menyuarakan hasrat membantu rakyat Palestin di peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan negara-negara Islam lain dan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam). Kita harap penindasan rakyat Palestin terus dibawa ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melawat Turkish Aerospace
Industries (TAI), syarikat pemain utama industri pertahanan dan aeroangkasa Turkiye
untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan republik itu dalam bidang teknologi
FOTO BERNAMA
Ismail Sabri juga menyatakan lawatan sulung beliau ke Turkiye sebagai Perdana Menteri amat berjaya dan mencapai hasil seperti yang dihasratkan.
“Presiden Erdogan menganggap Malaysia sebagai sahabat, saudara, adik-beradik negara-negara bersaudara. Waktu bincang pun, walaupun rasmi, kita bermesyuarat secara kasual. Dari mula hingga habis, dia panggil saya ‘Brother’ Ismail. Saya anggap ini sebagai satu penghormatan,” kata beliau. -BERNAMA