fb fb fb fb fb

Majlis perkahwinan atlet paralimpik berakhir dengan tragedi

Seorang bekas atlet paralimpik renang dan menembak dalam pasukan kebangsaan Thailand menembak isterinya dan ahli keluarga yang lain/FOTO MGRONLINE

BANGKOK, 26 November - Seorang pengantin lelaki mengamuk dan melepaskan tembakan rambang mengakibatkan empat orang maut, termasuk pengantin perempuan, sebelum menembak dirinya sendiri pada majlis perkahwinan di wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand.

Pengantin lelaki berkenaan merupakan atlet renang paralimpik kebangsaan dan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 malam (waktu tempatan) pada Sabtu itu turut menyebabkan seorang lelaki cedera parah.

Atlet berusia 29 tahun itu yang kehilangan kakinya dalam nahas jalan raya sebelum ini pernah memenangi pingat perak dalam Sukan Para ASEAN ke-11 di Indonesia tahun lepas.

Ketua Balai Polis Wang Nam Khiao, Pol Kol Rungroj Tang-amnuay, berkata pengantin lelaki menembak pengantin perempuan berusia 38 tahun, ibunya berusia 60 tahun dan adik perempuannya berusia 37 tahun.

Dua tetamu berusia 50 dan 28 tahun turut cedera terkena peluru sesat dan dikejarkan ke hospital.

Malangnya, lelaki berusia 50 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Siasatan awal mendapati tragedi berkenaan berlaku akibat pertengkaran antara pasangan pengantin baharu itu.

Akibatnya, pengantin lelaki itu bertindak mengambil sepucuk pistol dari dalam keretanya sebelum melepaskan tembakan.- BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN