SEOUL, 31 Disember - Mahkamah Daerah Barat Seoul mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Yoon Suk Yeol, selepas tindakannya mengisytiharkan undang-undang tentera 3 Disember lalu.
Yoon, yang digantung tugas oleh parlimen, berdepan tuduhan pemberontakan, dengan hukuman maksimum penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Penyiasat berkata waran itu dikeluarkan kerana Yoon gagal menghadiri sesi soal siasat sebanyak tiga kali berturut-turut.
Waran itu memberi masa 48 jam kepada Corruption Investigation Office (CIO) untuk menahan Yoon bagi tujuan soal siasat.
Menurut CIO , waran tangkap dikeluarkan kerana kebimbangan Yoon akan terus enggan bekerjasama dengan siasatan.
Waran tangkap itu sah sehingga 6 Januari, dan Yoon mungkin ditahan di pusat tahanan Seoul atau balai polis.
Pada 3 Disember, Yoon secara mengejut mengisytiharkan undang-undang tentera dalam satu pengumuman langsung di televisyen, mendakwa ia bertujuan menghapuskan elemen "anti-negara".
Keputusan Yoon mencetuskan kekecohan di negara itu, dengan anggota tentera menyerbu bangunan parlimen menggunakan senjata, memanjat pagar, dan memasuki bangunan melalui helikopter.
Tindakannya segera ditolak oleh parlimen, yang kemudiannya menggantung Yoon daripada tugas presiden.
Pihak pendakwaan mendakwa Yoon telah membincangkan pelaksanaan undang-undang tentera dengan pegawai tentera kanan sejak Mac.
Peguam Yoon, Yoon Kab-keun, menyifatkan waran itu sebagai "tidak sah", dengan alasan agensi penyiasat tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat seorang presiden.
Di luar kediaman Yoon di Seoul, kelihatan kumpulan penyokong dan anti-Yoon berkumpul, menyebabkan ketegangan dan memaksa pihak polis hadir untuk mengawal keadaan.
Sekumpulan penyokong Yoon menyatakan bahawa mereka merancang untuk menghimpunkan sehingga 3,000 orang bagi membantah waran tangkap yang dianggap tidak adil.
Sementara itu, Presiden Lawyers for a Democratic Society, Yun Bok-nam, berkata tidak ada undang-undang yang membenarkan penolakan terhadap waran tangkap, dan proses itu dijangka berjalan lancar.
Ketika Korea Selatan masih menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan untuk mengesahkan pemecatan Yoon, negara itu kini berada di bawah pentadbiran sementara Menteri Kewangan Choi Sang-mok.
Ini susulan pemecatan Perdana Menteri Han Duck-soo minggu lalu kerana gagal meluluskan siasatan terhadap Yoon.
Namun, Korea Selatan berdepan cabaran lain apabila Choi terpaksa menangani tragedi nahas pesawat Jeju Air yang meragut 179 nyawa pada Ahad.
Tragedi itu sekali gus menambah tekanan kepada situasi politik negara. - AFP