fb fb fb fb fb

Lima warga Palestin mati dalam tahanan Israel

Foto Hiasan

RAMALLAH, 31 Disember- Kementerian Tahanan Palestin dan Kelab Tahanan Palestin semalam menerima laporan mengenai kematian lima warga Palestin dalam tahanan Israel.

Jurucakap Kelab Tahanan Palestin, Amani Sarahna, mengesahkan kepada AFP bahawa dua daripada lima tahanan meninggal dunia pada Ahad, manakala tiga lagi meninggal dunia sebelum itu.

"Lima tahanan berkenaan ditahan berikutan konflik yang dicetuskan Israel, sebahagiannya ketika cuba melarikan diri dari utara Gaza ke arah selatan," menurut kenyataan bersama organisasi berkenaan.

Berdasarkan laporan, seramai 54 tahanan Palestin meninggal dunia dalam penjara Israel sejak konflik itu, 7 Oktober tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 35 tahanan dari Gaza, manakala selebihnya dari Tebing Barat.

Kementerian Tahanan Palestin bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat Palestin di dalam penjara Israel dan keluarga mereka.

Empat daripada lima tahanan yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Mohammad Rashid Okka, 44, Samir Mahmoud al-Kahlout, 52, Zuhair Omar al-Sharif, 58, dan Mohammad Anwar Labad, 57.

Seorang lagi tahanan, Ashraf Mohammad Abu Warda, 51, meninggal dunia pada Ahad di Hospital Soroka, Israel, menurut Kelab Tahanan Palestin.

Namun, tiada maklumat lanjut diberikan mengenai punca kematian tahanan tersebut.

Kedua-dua organisasi juga mendakwa Israel melakukan operasi pelupusan terhadap tahanan.

"Jumlah tahanan yang terbunuh di dalam penjara Israel mencapai rekod tertinggi, menyifatkannya sebagai fasa paling berdarah," menurut kenyataan itu.

Sejak 1967, seramai 291 tahanan Palestin telah meninggal dunia dalam tahanan Israel. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM