NEW DELHI, 31 Disember- Kerajaan India melancarkan roket pada Isnin membawa dua kapal angkasa kecil untuk ujian penggabungan (docking) di angkasa lepas.
Menteri Sains dan Teknologi India, Jitendra Singh berkata langkah itu penting dalam merealisasikan impian negara itu membangunkan stesen angkasa dan misi manusia ke bulan.
"Misi ini adalah penting bagi mencapai cita-cita masa depan angkasa India," katanya dalam satu kenyataan sebelum pelancaran yang disiarkan secara langsung oleh Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO).
Perdana Menteri, Narendra Modi sebelum ini mengumumkan rancangan untuk menghantar manusia ke bulan menjelang tahun 2040.
Roket PSLV-C60, yang dilancarkan dari tapak pelancaran Sriharikota itu membawa dua satelit yang masing-masing seberat 220 kilogram.
Teknologi tersebut dianggap penting untuk rancangan India ke bulan dan disebut sebagai teknologi utama bagi penerbangan angkasa manusia serta misi servis satelit pada masa hadapan.
India, negara dengan populasi terbesar di dunia, memiliki program angkasa lepas yang menggunakan perbelanjaan rendah tetapi sedang mencapai kejayaan setanding kuasa angkasa dunia.
Pada Ogos 2023, India menjadi negara keempat yang berjaya mendaratkan kapal angkasa tanpa pemandu di bulan, selepas Rusia, Amerika Syarikat, dan China.- AFP