fb fb fb fb fb

Mahkamah arahkan abang PM Singapura perbetul catatan di Facebook

(FOTO AFP)

SINGAPURA, 25 Julai- Kerajaan Singapura pada Selasa mengarahkan abang kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong agar membetulkan semula catatan di hantaran Facebook miliknya yang mengandungi kenyataan palsu berkaitan isu rumah sewa melibatkan dua menteri kabinet negara berkenaan.

Lee Hsien Yang, 65, diarah membuat pembetulan kepada hantaran asal dengan menyatakan bahawa ia mengandungi kenyataan fakta palsu.

Pembetulan itu juga turut mengandungi pautan yang mengarahkan pembaca kepada apa yang kerajaan katakan merupakan fakta yang benar.

Kementerian Undang-Undang memaklumkan Hsien Yang diarahkan untuk menerbitkan pembetulan di bawah Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA).

Hantaran oleh Lee Hsien Yang berkaitan dengan kontroversi penyewaan banglo kolonial oleh menteri luar negeri dan undang-undang itu mencetuskan bantahan penduduk negara itu yang kebanyakannya tinggal di pangsapuri bertingkat yang dibina kerajaan Singapura.

Hsien Yang, 65, terbabit dalam pertikaian dengan Hsien Loong, berhubung kediaman milik mendiang bapa mereka yang juga pengasas Singapura moden, Lee Kuan Yew.

Lee Hsien Yang dan kakaknya, Lee Wei Ling, telah menuduh abangnya, Hsien Loong menentang hasrat bapa mereka untuk merobohkan rumah itu.

Bercakap kepada AFP, Hsien Yang berkata dia berhasrat untuk menerbitkan kenyataan mengenai perintah itu esok.

Catatan di Facebooknya kekal tanpa sebarang pembetulan petang tadi.-AFP



(FOTO AFP)

Media Baharu