fb fb fb fb fb

Lula kecam ancaman tarif Trump, anggap "ugutan tidak boleh diterima"

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva / REUTERS

BRASILIA, 18 Julai – Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva mengecam keras ancaman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas semua produk Brazil, dengan menyifatkannya sebagai "ugutan yang tidak boleh diterima".

Kenyataan itu disuarakan Lula dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen kebangsaan, menyusuli siri ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua pemimpin.

Trump sebelum ini mengumumkan pada 9 Julai bahawa beliau akan mengenakan tarif tinggi sebagai hukuman terhadap dakwaan "pemburuan politik" ke atas sekutu kanannya, bekas Presiden Jair Bolsonaro.

Tarif tersebut dijangka berkuat kuasa 1 Ogos ini sekiranya tiada persetujuan dicapai antara Brasilia dan Washington.

Dalam ucapannya, Lula turut mengecam ahli politik Brazil yang menyokong dasar Trump sebagai "pengkhianat negara".

“Brazil hanya ada satu pemilik, rakyatnya sendiri,” tegas Lula, sambil menyatakan komitmennya untuk terus memperjuangkan hubungan perdagangan dan diplomatik yang baik dengan negara lain.

Sebelum itu, Trump menerusi platform Truth Social memuat naik sepucuk surat kepada Bolsonaro, mendesak kerajaan Lula mengubah haluan.

“Saya menyaksikan sendiri layanan buruk yang diterima anda daripada sistem tidak adil yang memusuhi anda,” tulis Trump sambil menegaskan ketidakpuasan hatinya telah dinyatakan secara terbuka dan melalui dasar tarifnya.

Bolsonaro kini sedang berdepan perbicaraan atas dakwaan merancang rampasan kuasa selepas tewas tipis kepada Lula dalam pilihan raya 2022.

Brazil dalam kenyataan awal minggu ini menegaskan komitmennya untuk berunding dengan Amerika Syarikat, namun turut menyatakan rasa terhina dengan ancaman tarif tinggi itu dalam surat rasmi kepada Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan, Jamieson Greer.

Sebelum ini, Brazil tidak termasuk dalam senarai negara yang pernah diancam dengan tarif melebihi 10 peratus oleh Trump. Walaupun Amerika Syarikat mencatat lebihan dagangan barangan dengan Brazil, kerajaan Lula menegaskan mereka telah beberapa kali meminta Washington memperincikan kebimbangan yang dibangkitkan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE