SAN FRANCISCO, 17 Julai – Penjara terkenal Alcatraz di Teluk San Francisco kembali menjadi perhatian selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencadangkan kemudahan itu dibuka semula.
Cadangan tersebut dibangkitkan semula apabila Peguam Negara A.S., Pam Bondi melawat pulau berkenaan pada Khamis dan berbincang bersama renjer taman semasa meninjau tapak bekas penjara itu.
Trump sebelum ini, dalam satu kenyataan pada Mei, menyatakan beliau mengarahkan Biro Penjara Persekutuan untuk membina semula dan mengaktifkan semula Alcatraz sebagai penjara.
Namun, setakat ini masih belum ada pelan konkrit diumumkan, malah pentadbiran Trump tidak mengemukakan sebarang permohonan bajet kepada Kongres bagi membiayai usaha tersebut dalam cadangan belanjawan terbaharu.
Menurut laman rasmi Biro Penjara Persekutuan, Alcatraz ditutup pada 1963 selepas 29 tahun beroperasi kerana kos pengurusan yang terlalu tinggi.
Sepanjang tempoh operasinya, penjara berkenaan pernah menempatkan penjenayah terkenal seperti Al Capone. Kini, Alcatraz diuruskan oleh Perkhidmatan Taman Negara dan menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di San Francisco.-REUTERS