fb fb fb fb fb

'Love scams': Indonesia tahan 88 warga China

(FOTO AFP)

BATAM, 30 Ogos- Seramai 88 warga China ditahan di Indonesia kerana menjalankan kegiatan sindiket penipuan cinta dalam talian atau 'love scams' yang menjerat ratusan mangsa di China.

Bertindak atas maklumat daripada pihak polis dari negara itu, 83 lelaki dan lima wanita ditahan di sebuah taman perindustrian di bandar sini dekat wilayah Kepulauan Riau, semalam.

Jurucakap polis Kepulauan Riau, Zahwani Pandra Arsyad berkata, sindiket itu memeras ugut ratusan mangsa di China, kebanyakannya adalah kakitangan awam.

"Kami sedang menyiasat jika ada warga Indonesia dalam kalangan mangsa. Jika tiada, suspek akan dihantar pulang (ke China) serta-merta," katanya hari ini.

Suspek wanita dilapor menggunakan modus operandi berpura-pura mempunyai perasaan romantik terhadap mangsa menerusi panggilan video.

Mangsa kemudian digoda sehingga melakukan perbuatan seksual dalam panggilan tersebut, manakala suspek lain akan merakam aktiviti berkenaan.

Setelah itu, suspek memeras ugut mangsa dan mengugut untuk menyiarkan rakaman terbabit di media sosial jika mangsa enggan menghantar wang yang diminta.

Zahwani berkata, nilai kerugian dan berapa lama sindiket beroperasi masih tidak diketahui.

Terdahulu, polis memaklumkan sindiket penipuan China telah berpindah ke Indonesia dan negara Asia Tengara lain, selepas negara itu bertindak keras terhadap rangkaian domestik.

Pada 2019, seramai 85 warga China dan enam warga Indonesia ditahan atas penipuan dalam talian yang memperdaya mangsa sehingga rugi berjuta-juta dolar Amerika Syarikat. -AFP

(FOTO AFP)

Media Baharu