fb fb fb fb fb

Lori petrol terbalik dan meletup, 86 rentung di Nigeria

FOTO AFP

LAGOS, 20 Januari- Jumlah korban insiden letupan lori tangki yang membawa muatan petrol di Nigeria meningkat kepada 86 orang, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri Niger pada Ahad.

Lori membawa 60,000 liter petrol itu meletup selepas terbalik di simpang Dikko, laluan yang menghubungkan Abuja dan Kaduna pada Sabtu.

Jurucakap agensi berkenaan, Ibrahim Audu Husseini memaklumkan proses pengebumian kesemua mangsa telah selesai dijalankan selepas mengambil masa 14 jam.

"Kami mengebumikan 86 mayat yang rentung bermula pukul 12.00 tengah hari hingga 2.00 pagi. Disebabkan ketiadaan jentera penggali, kami terpaksa bergantung kepada penduduk tempatan untuk menggali kubur secara manual," katanya.

Selain itu, seramai 52 mangsa lain mengalami kecederaan parah akibat kebakaran tersebut.

Letupan dipercayai berlaku apabila sekumpulan penduduk bergegas ke lokasi kejadian untuk mengumpul petrol yang tertumpah, susulan kenaikan harga bahan api berikutan krisis ekonomi negara itu.

Salah seorang mangsa, Dalandi Abdullahi yang dirawat akibat kesan lecur teruk berkongsi detik cemas itu.

"Saya melihat seorang wanita membawa tong minyak, tiba-tiba tong itu meletup dan minyak terkena badan saya," katanya.

Peniaga, Bashiru Umar pula menyalahkan penggunaan generator sebagai punca kebakaran.

"Api bermula daripada generator dan tiada air untuk memadam kebakaran. Mereka yang terbakar bukan hanya yang mengumpul minyak, tetapi orang ramai yang berada di lokasi kejadian bagi menyaksikan kemalangan tersebut," jelasnya.

Selepas mengambil alih kuasa pada 2023, Presiden Bola Tinubu memansuhkan subsidi bahan api mengakibatkan kenaikan kos makanan dan pengangkutan.

Beliau juga menamatkan kawalan mata wang yang membawa kepada kejatuhan nilai naira. -AFP

2001 BD NIGERIA LORI TANGKI MELETUP
Mayat yang terbakar ditutup dengan daun dan lori yang terbakar/ AFP

SITI AISHAH MD ISA