fb fb fb fb fb

Konflik bersenjata: 80 maut, 11,000 melarikan diri di Colombia

Colombia memperhebat operasi ketenteraan di wilayah Catatumbo selepas serangan oleh pemberontak ELN ke atas ahli FARC dan orang awam mengorbankan lebih 80 nyawa dalam tiga hari/AFP

TIBÚ, 20 Januari- Lebih 80 orang termasuk orang awam dilaporkan terkorban, manakala sekitar 11,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka susulan konflik bersenjata yang tercetus di wilayah Catatumbo, kawasan penanaman kokain utama di Colombia.

Keganasan tersebut berlaku di tengah-tengah proses damai yang rapuh, menurut kenyataan pihak berkuasa pada Ahad.

Tentera Colombia telah menghantar 5,000 anggota ke wilayah itu bagi menangani konflik antara kumpulan bersenjata Tentera Pembebasan Nasional (ELN) dan bekas anggota Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) yang masih bertempur walaupun kumpulan itu telah dilucutkan senjata pada 2017.

Gabenor Norte de Santander, William Villamizar memaklumkan lebih 80 nyawa telah terkorban akibat pertempuran itu termasuk orang awam yang terperangkap di tengah-tengah konflik.

Penduduk yang ketakutan dilaporkan melarikan diri dengan motosikal sarat muatan, bot atau trak.

Sebahagian besar mereka mencari perlindungan di bandar Tibú, manakala yang lain menyeberangi sempadan ke Venezuela.

Kerajaan Venezuela turut mengumumkan pelaksanaan operasi khas bagi membantu ratusan keluarga yang terkesan akibat keganasan tersebut.

"Sebagai rakyat Colombia, meninggalkan negara sendiri adalah sesuatu yang menyakitkan," kata Geovanny Valero, seorang petani berusia 45 tahun yang kini berlindung di Venezuela.

Dia berharap konflik di Catatumbo dapat diselesaikan agar dia dapat kembali ke tanah airnya. -AFP

SITI AISHAH MD ISA