(FOTO AFP)
GENEVA, 18 Ogos- Separuh daripada penduduk di negara-negara miskin telah menerima dua dos vaksin COVID-19, kata perikatan vaksin global sambil memuji kemajuan dalam merapatkan jurang ekuiti vaksin.
Pakatan Vaksin Global (GAVI) dalam satu kenyataan memalumkan, 92 negara berpendapatan rendah yang menerima suntikan dibiayai penderma telah mencapai liputan purata 50%.
Walaupun ketidaksamaan kekal, usaha besar-besaran untuk mengecilkan jurang itu membuahkan hasil.
"Negara berpendapatan rendah telah membuat kemajuan yang luar biasa," menurut kenyataan itu.
GAVI mengetengahkan peningkatan dramatik sejak awal tahun, apabila secara purata hanya 31% penduduk di seluruh 92 negara menerima dua suntikan awal.
Ketika itu, liputan vaksinasi di 34 negara miskin berada bawah 10%, berbanding 10 negara hari ini, katanya.
(Liputan vaksinasi COVID-19 di negara miskin cecah 50%/Foto fail)
GAVI berkata kerajaan telah berjaya mengutamakan vaksinasi petugas kesihatan, dengan kebanyakan negara berpendapatan rendah kini melindungi lebih 80 peratus daripada kumpulan berisiko tinggi ini.
Pemangku Pengarah Urusan Pejabat COVAX GAVI, Derrick Sim memuji "kemajuan penting" itu.
"Pandemik belum berakhir," katanya dalam kenyataan GAVI, sambil menunjukkan bahawa "kes jangkitan dan kematian terus meningkat dan varian baharu menimbulkan ancaman kepada kita semua." -AFP