fb fb fb fb fb

Lima pemberontak Maoist terbunuh bertempur dengan polis dalam hutan

FOTO FAIL

RAIPUR, 17 November- Pasukan keselamatan India telah membunuh lima pemberontak Maoist dalam pertempuran di hutan, kata seorang pegawai pada Ahad, ketika operasi diteruskan untuk menumpaskan pemberontakan yang telah berlarutan selama puluhan tahun di wilayah kaya sumber di tengah negara itu.

Pertempuran berlaku di hutan Abujhmad, negeri Chhattisgarh, pada Sabtu, menjadikan jumlah korban konflik sepanjang tahun 2024 mencecah sekitar 200 orang, angka tertinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih daripada 10,000 orang telah terkorban dalam pemberontakan Maoist, yang dikenali sebagai gerakan Naxalite yang mendakwa mereka berjuang untuk hak-hak masyarakat pribumi yang terpinggir.

"Dalam pertempuran ini, lima pemberontak Maoist telah terbunuh," kata pegawai kanan polis P. Sunderraj kepada AFP, sambil menambah dua daripada pemberontak yang maut adalah wanita.

Pertempuran berlaku di kawasan sempadan Kanker dan Narayanpur, dengan polis merampas senapang dan peluru dari mayat pemberontak. Dua pegawai turut cedera dalam pertempuran tersebut.

Kerajaan India terdahulu telah memberi amaran kepada pemberontak untuk menyerah diri.

Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, menyatakan pada September lalu bahawa beliau menjangka pemberontakan itu dapat dikalahkan sepenuhnya menjelang awal 2026.

Gerakan Naxalite, dinamakan sempena daerah di mana kempen bersenjata mereka bermula pada tahun 1967, diilhamkan oleh pemimpin revolusi China, Mao Zedong.

Mereka menuntut tanah, pekerjaan dan bahagian daripada sumber semula jadi yang besar di wilayah itu untuk masyarakat setempat, sambil membuat kemajuan di beberapa komuniti terpencil.

India mendakwa pemberontakan tersebut telah dihadkan kepada sekitar 45 daerah pada tahun 2023, berbanding 96 daerah pada tahun 2010.

Pihak berkuasa juga telah melaburkan berjuta-juta dolar dalam projek infrastruktur baharu dan perbelanjaan sosial untuk membangunkan kawasan yang terjejas.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE