fb fb fb fb fb

Letupan di Kyiv cederakan lagi penduduk, bangunan kediaman musnah

KYIV, 16 Mac- Beberapa siri letupan menggegarkan ibu kota Kyiv dalam serangan terbaharu Rusia.

Sekurang-kurangnya, tiga letupan kuat kedengaran di bahagian barat Kyiv, dengan dua lagi penduduk cedera sementara dua bangunan kediaman musnah.

Ini merupakan serangan intensif dari Moscow yang menyasarkan beberapa bandar Ukraine.

Imej yang dikeluarkan oleh perkhidmatan kecemasan menunjukkan sudut atas satu bangunan telah musnah sebahagiannya, manakala satu lagi mengalami kerosakan dan kesan hangus pada bumbung.

Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 40 cedera dalam serangan Rusia yang membakar sebuah bangunan di daerah Sviatoshynsky, Kyiv pada Selasa.

(Kepulan asap selepas letupan di Kyiv - FOTO AFP)

Dalam pada itu, seramai 97 kanak-kanak di Ukraine terbunuh sejak konflik Rusia-Ukraine berlaku.

Pejabat ketua pendakwa raya di Ukraine memaklumkan lebih 100 kanak-kanak turut cedera antara 24 Februari hingga 15 Mac.

Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya lima kanak-kanak terbunuh setiap hari akibat serangan bom.

Sejak serangan dilancarkan Rusia, sekurang-kurangnya 636 orang awam terbunuh dan seribu 125 lagi cedera, manakala lebih 3 juta penduduk melarikan diri ke negara jiran

Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron ketika lawatannya ke Pusat penerimaan pelarian di Maine-et-Loire memberitahu, negara itu boleh menerima sekurang-kurangnya 100 ribu pelarian Ukraine.

Jelas beliau, Perancis akan menjalankan tanggungjawab dan melindungi pelarian terlibat yang tiba di negara itu.

Ujarnya lagi, Perancis perlu menunjukkan solidariti kepada negara-negara yang kini berdepan dengan tekanan. -AFP

Media Baharu