TEHRAN, 18 Februari- Seorang lelaki membunuh 12 ahli keluarganya dalam satu kejadian tembakan di selatan Iran pada Sabtu.
Memetik agensi berita rasmi IRNA, Ketua Hakim Wilayah Kerman, Ebrahim Hamidi berkata lelaki berusia 30 tahun itu bertindak sedemikian selepas berlaku pertengkaran di dalam keluarganya.
"Seorang lelaki berusia 30 tahun, didorong oleh pertikaian keluarga, membunuh 12 ahli keluarganya termasuk bapa dan abangnya dengan senjata api AK-47, berhampiran bandar Faryab," katanya kepada pemberita di sini.
Katanya, lelaki tersebut terbunuh semasa berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan yang cuba menahannya.
Kes tembakan secara besar-besaran jarang berlaku di Iran dengan orang ramai hanya dibenarkan memiliki senapang memburu. - AFP