GENEVA, 18 Februari- Hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza, tidak lagi berfungsi selepas pengepungan tentera Israel sehingga kini, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), Ghebreyesus berkata masih terdapat kira-kira 200 pesakit berada di hospital tersebut.
"Semalam dan sehari sebelumnya, pasukan WHO tidak dibenarkan memasuki hospital untuk meninjau keadaan pesakit dan keperluan perubatan kritikal, walaupun tiba di pekarangan hospital itu untuk menghantar bahan api.
"Sekurang-kurangnya 20 pesakit perlu dirujuk ke hospital lain dengan segera untuk menerima rawatan lanjut.
"Saya berharap akses kepada pesakit dan hospital dapat dilakukan segera bagi menyelamatkan nyawa mereka," kata Ghebreyesus dalam catatan di platform X.