JAKARTA, 27 Disember - Empat sekeluarga warga Sepanyol dilaporkan hilang selepas sebuah bot pelancong karam dalam keadaan laut bergelora di perairan Indonesia, berhampiran Pulau Padar, dekat Labuan Bajo.
Mereka terdiri daripada seorang lelaki dewasa serta tiga kanak-kanak, masing-masing dua lelaki dan seorang perempuan.
Kejadian berlaku malam Jumaat ketika bot yang membawa 11 orang penumpang itu dipercayai dipukul ombak besar sebelum karam di Selat Pulau Padar yang merupakan kawasan popular dalam kalangan pelancong.
Pasukan mencari dan menyelamat memaklumkan, tujuh individu berjaya diselamatkan termasuk isteri mangsa, seorang anak perempuan mereka, empat kru bot serta seorang pemandu pelancong.
Penyelaras misi carian, Fathur Rahman, berkata pasukan penyelamat menemui serpihan dan bahagian badan bot di sekitar lokasi kejadian.
Namun operasi berdepan cabaran cuaca buruk dengan arus deras dan ombak setinggi kira-kira satu setengah meter.
Katanya, keadaan laut yang tidak menentu menyukarkan usaha pencarian, malah Pulau Padar terpaksa ditutup sementara kepada pengunjung susulan cuaca ekstrem.
Sementara itu, pihak berkuasa pelabuhan Labuan Bajo memaklumkan, bot berkenaan dipercayai karam akibat ombak besar yang mencecah sehingga tiga meter.
Rakaman video yang dikeluarkan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia menunjukkan anggota penyelamat membantu mangsa turun dari bot getah ke darat.
Manakala sebahagian mangsa dilihat memakai jaket keselamatan di atas bot penyelamat ketika operasi dijalankan dalam keadaan gelap.
Untuk rekod, kemalangan maritim kerap berlaku di Indonesia yang mempunyai sekitar 17,000 pulau, kebanyakannya berpunca daripada faktor cuaca buruk serta tahap keselamatan laut yang mencabar. - AFP