fb fb fb fb fb

Lelaki maut diserang jerung di Australia

Foto fail/AFP

SYDNEY, 29 Disember - Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas diserang jerung ketika memancing bersama-sama keluarganya di perairan Terumbu Sawar Besar, Australia, menurut kenyataan pegawai.

Haiwan pemangsa itu menyerang pada petang Sabtu berhampiran Pulau Humpy di pantai timur negara itu, kata perkhidmatan kecemasan.

"Lelaki itu sedang memancing bersama-sama ahli keluarganya apabila diserang seekor jerung," kata polis negeri Queensland dalam satu kenyataan.

Mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia kira-kira sejam setengah selepas kejadian, laporan akan disediakan untuk pihak koroner.

Pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan sama ada lelaki tersebut sedang memancing menggunakan tombak pada masa itu.

Jurucakap ambulans Queensland memberitahu AFP pada Ahad bahawa mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat luka yang serius di bahagian leher.

Pulau Humpy, yang terletak di Taman Negara Kepulauan Keppel Bay dalam kawasan Terumbu Sawar Besar terkenal sebagai destinasi perkhemahan yang menawarkan akses mudah ke terumbu untuk aktiviti menyelam dan snorkeling.

Serangan jerung maut terakhir di Australia berlaku pada Disember 2023, apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dipercayai diserang oleh seekor jerung putih besar di lokasi meluncur terpencil di Australia Selatan.

Sejak 1791, terdapat lebih daripada 1,200 insiden jerung di Australia, dengan lebih 250 daripadanya menyebabkan kematian, menurut pangkalan data nasional.

Kebanyakan gigitan serius melibatkan jerung putih besar, jerung lembu, dan jerung harimau. - AFP

TETITIA YUSOFF