fb fb fb fb fb

Lebih 930 hektar hutan terbakar di barat daya Perancis

CERBERE, 17 April- Kebakaran hutan melanda lebih 930 hektar kawasan di barat daya Perancis, berhampiran sempadan Sepanyol pada Ahad.

Pihak berkuasa tempatan, Rodrigue Furcy berkata, 460 anggota bomba ditugaskan untuk memadam kebakaran di sekitar perkampungan Cerbere dan Banyuls-sur-Mer di pantai Mediterranean.

Bagaimanapun mereka berhadapan cabaran angin kencang sekaligus menghalang penggunaan pesawat pemadam kebakaran, Canadair.

Empat buah rumah musnah dalam kebakaran itu dan kira-kira 300 penduduk telah dipindahkan.

Lebuh raya tempatan dan laluan kereta api turut ditutup susulan kebakaran berkenaan.

"Pasukan bomba berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke dua kampung, dengan hanya dua rumah rosak dan tiada kecederaan dalam kalangan penduduk," kata Furcy pada sidang media.

(Kepulan asap kelihatan di kawasan hutan yang terbakar / Foto REUTERS)

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Bomba Wilayah, Eric Belgioino memaklumkan, jumlah anggota bomba ditambah kepada lebih 500.

Sepanyol dan selatan Perancis terus mengalami kebakaran hutan sepanjang musim sejuk, dengan kadar hujan yang rendah berikutan kemarau teruk pada musim panas lalu.

Sekatan air diisytiharkan di beberapa daerah di selatan Perancis.

Pada masa sama, institut geologi negara itu telah memberi amaran, rizab air bawah tanah yang rendah boleh mengakibatkan kemarau yang lebih teruk pada musim panas ini.-REUTERS

Media Baharu