fb fb fb fb fb

Empat maut ditembak semasa sambutan hari jadi

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 17 April - Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala 28 yang lain cedera dalam kejadian tembakan semasa sambutan hari jadi di Alabama.

Stesen berita tempatan melaporkan, kejadian tembakan berlaku pada pesta Sweet 16 di sebuah studio tarian di Dadeville, sebuah bandar kecil di timur laut ibu negeri Montgomery.

"Terdapat empat nyawa terkorban secara tragis dalam kejadian ini dan terdapat banyak kecederaan," kata jurucakap Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Alabama (ALEA), Sarjan Jeremy Burkett kepada pemberita pada Ahad.

Burkett turut menggesa penduduk untuk tampil memberikan sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut.

(FOTO AFP)

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah diberikan taklimat mengenai insiden tersebut turut menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang menimpa golongan remaja itu sambil menyifatkan keganasan melibatkan senjata api di negara itu membimbangkan.

"Apa yang telah dicapai oleh negara kita apabila kanak-kanak tidak dapat menghadiri majlis hari jadi tanpa rasa takut. Senjata api adalah pembunuh utama kanak-kanak di Amerika dan jumlahnya semakin meningkat dan tidak berkurangan. Ini adalah keterlaluan dan tidak boleh diterima," katanya menerusi kenyataan.

Biro Penyiasatan Alabama telah memulakan siasatan bersama-sama dengan polis Dadeville dan agensi persekutuan termasuk FBI bagi mengenalpasti motif serangan.

AS, sebuah negara dengan kira-kira 330 juta orang, kini dibanjiri dengan kira-kira 400 juta senjata api dan kes tembakan besar-besaran atau menyebabkan kematian menjadi perkara biasa.

Polis lewat semalam, mengesahkan dua orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam satu tembakan di Louisville, Kentucky, bandar sama berlakunya tragedi seorang lelaki bersenjata membunuh lima orang di sebuah bank, Isnin lalu. -AFP

Media Baharu