fb fb fb fb fb

Lebih 800 suspek penipuan ditahan dalam operasi Myanmar-China

FOTO fail AFP

YANGON, 1 April- Lebih 800 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan rentas sempadan telah ditahan dalam operasi bersama polis oleh Myanmar dan China.

Kedutaan Beijing di Yangon dalam kenyataan berkata Polis Myanmar menahan 807 orang yang melakukan jenayah rentas sempadan dan merampas komputer, telefon bimbit dan "skrip penipuan".

Antara yang ditahan ialah 352 warga China, yang telah dipindahkan ke China dan selebihnya merupakan warga Myanmar.

"Penguatkuasa undang-undang China memberikan maklumat kepada rakan sejawatan mereka di Myanmar, yang bertindak melancarkan serbuan di sekitar bandar Muse, hab perdagangan utama di utara negeri Shan, kata kedutaan itu di saluran WeChatnya.

Dalam pada itu, pihak junta belum mengulas mengenai serbuan itu.

Sindiket penipuan telah berkembang pesat di Myanmar dan dikendalikan oleh rakyat dari China dan negara lain yang sering dipaksa bekerja bagi menipu rakan senegara mereka.

Beijing adalah sekutu utama dan pembekal senjata untuk junta Myanmar telah berulang kali meminta tentera untuk membanteras operasi sedemikian.

Tahun lalu, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu berkata sekurang-kurangnya 120,000 orang telah ditahan di Myanmar.

Ramai yang ditempatkan di bandar Laukkai di utara negeri Shan, yang kini menjadi sasaran serangan terhadap tentera oleh pakatan kumpulan bersenjata etnik minoriti.

Menurut media negara China, lebih 40,000 orang yang disyaki terlibat dalam penipuan siber di Myanmar telah diserahkan kepada China tahun lepas.-AFP

ROSLINA BINTI DIN