fb fb fb fb fb

Lebih 30 terbunuh, pergolakan terbaharu di Syria

Pasukan keselamatan Syria mengawal lalu lintas/Foto Reuters

ISTANBUL, 14 Julai - Lebih 30 orang terbunuh dan hampir 100 lagi cedera dalam pertempuran antara kumpulan bersenjata puak Badwi dan pejuang komuniti Druze di wilayah Suwayda, selatan Syria, menurut laporan awal daripada Kementerian Dalam Negeri pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kementerian melahirkan kebimbangan dan rasa dukacita terhadap “perkembangan berdarah” yang berlaku antara “kumpulan bersenjata tempatan dan puak” di kawasan kejiranan Al-Maqous, Suwayda, lewat Ahad.

“Dalam konteks ini, Kementerian Dalam Negeri mengesahkan yang unit pasukannya, dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, akan campur tangan secara langsung di kawasan terlibat bagi menyelesaikan konflik, menghentikan pertempuran, menguatkuasakan keselamatan, mendakwa mereka yang bertanggungjawab dan membawa mereka ke muka pengadilan,” menurut kenyataan itu.

Menurut agensi berita rasmi SANA, beberapa anggota tentera yang dikerahkan ke kawasan itu turut terkorban ketika cuba melindungi orang awam daripada kumpulan yang diisytiharkan haram.

Tiada maklumat lanjut mengenai jumlah kematian yang disahkan secara rasmi setakat ini.

Menteri Dalam Negeri Syria Anas Khattab, menyifatkan “ketiadaan institusi negara, terutamanya institusi tentera dan keselamatan” sebagai punca utama ketegangan yang berterusan di wilayah Suwayda dan kawasan sekitarnya.

“Tiada penyelesaian lain kecuali mengenakan langkah keselamatan dan mengaktifkan peranan institusi bagi memastikan keamanan awam dan mengembalikan kehidupan seperti sediakala dalam semua aspek,” kata Khattab menerusi akaun X beliau.

Pergaduhan bersenjata tercetus lewat Ahad antara puak Badwi dan pejuang Druze di Suwayda, mengakibatkan kematian dan kecederaan dalam kalangan orang awam serta anggota puak.

Bashar al-Assad, yang memerintah Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada Disember, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang berkuasa sejak 1963.

Pentadbiran peralihan baharu yang diketuai oleh Presiden Ahmad al-Sharaa telah dibentuk pada Januari.- BERNAMA/ANADOLU

ASHRIQ FAHMY AHMAD