KUALA LUMPUR, 14 Julai - Kapal Handala milik Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang membawa bekalan bantuan kemanusiaan memulakan pelayaran ke Gaza dari Pelabuhan Siracusa, Itali pada Ahad.
Dalam satu kenyataan Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata kapal Handala akan belayar ke beberapa negara di utara Eropah sebelum meneruskan pelayaran ke Gaza dalam misi “For the Children of Gaza”.
“Kapal ini membawa sekitar 15 aktivis antarabangsa pro-Palestin serta bekalan bantuan kemanusiaan,” katanya.
Beliau menambah pelayaran kali ini bertujuan untuk menyatakan solidariti kepada rakyat Gaza yang berdepan pembunuhan beramai-ramai dan kebuluran yang meruncing.
Dalam perjalanannya, Kapal Handala dijadual singgah di Gallipoli, tenggara Itali, dan akan disertai oleh dua Ahli Parlimen Perancis dari parti “La France Insoumise” pada 18 Julai.
Kamarul Zaman berkata, pelayaran kali ini merupakan percubaan keempat FFC untuk menembusi sekatan Israel.
Percubaan terdahulu termasuk insiden serangan dua dron tentera Zionis ke atas kapal Conscience di perairan Malta pada awal Mei, serta penahanan aktivis oleh tentera Israel pada 12 Jun ketika mereka berada di atas kapal Madleen dalam pelayaran ke Gaza, katanya.
Beliau berkata misi kali ini adalah bagi membantah sekatan yang tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap penduduk di Gaza yang sekali gus menyekat bantuan kemanusiaan masuk ke wilayah bergolak itu
Misi ini juga menunjukkan keganasan dan kezaliman berterusan rejim Zionis di Gaza, katanya.
Kamarul Zaman yang juga ahli jawatankuasa Pemandu FFC berkata misi kali dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan orang awam, dan bertujuan menghantar mesej solidariti antarabangsa terhadap penindasan yang berterusan di Gaza.- BERNAMA