PARIS, 2 November- Lebih 20,000 orang yang cedera masih terperangkap di Semenanjung Gaza, menurut pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan (MSF).
Operasi pemindahan awal membabitkan pemegang pasport asing dan rakyat Palestin yang cedera parah dengan merentasi sempadan ke Mesir melalui Rafah sudah bermula ketika ini.
Proses pemindahan terbabit turut membabitkan 22 kakitangan antarabangsanya di Gaza.
"Bagaimanapun, masih terdapat lebih 20,000 orang yang cedera di Gaza dengan akses terhad kepada penjagaan kesihatan akibat tindakan pengepungan itu," katanya.
Organisasi itu menggesa supaya lebih ramai mangsa dipindahkan, serta pelaksanaan gencatan senjata dibuat selain lebih banyak bantuan kritikal dibenarkan masuk.
"Mereka yang ingin meninggalkan Gaza mesti dibenarkan berbuat demikian tanpa berlengah lagi. Mereka juga mesti dibenarkan untuk kembali," katanya.
Ketua agensi PBB yang membantu pelarian Palestin, Philippe Lazzarini, berjaya sampai ke wilayah itu melalui persimpangan Rafah semalam, mengakui tidak pernah melihat keadaan seumpamanya sebelum ini.
"Saya terkejut menyaksikan semua orang di sana kelaparan, meminta makanan dan air," katanya kepada pemberita.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, serangan pengeboman oleh zionis sehingga kini sudah mengorbankan seramai 8,796 orang. -AFP