fb fb fb fb fb

Lebih 150 penerbangan IndiGo dibatalkan, ribuan penumpang terkandas

FOTO REUTERS

NEW DELHI, 4 Disember - Sekurang-kurangnya 150 penerbangan yang dikendalikan syarikat penerbangan terbesar India, IndiGo, dibatalkan manakala puluhan lagi mengalami kelewatan hari ini, sekali gus menyebabkan ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang utama negara itu.

Menurut sumber lapangan terbang dan seorang juruterbang IndiGo, syarikat penerbangan berkenaan kini berdepan kekurangan juruterbang susulan penguatkuasaan peraturan baharu kerajaan India bagi menangani keletihan serta menambah tempoh rehat juruterbang yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai dan 1 November lalu, sekali gus menyukarkan pengurusan jadual tugas.

Menerusi satu kenyataan, IndiGo memaklumkan operasinya “terjejas dengan ketara” sejak dua hari lalu akibat beberapa isu tidak dijangka termasuk cuaca buruk, kesesakan trafik udara serta pelaksanaan peraturan baharu penjadualan kru oleh kerajaan India.

Keadaan itu menyebabkan kelewatan panjang di lapangan terbang utama seperti New Delhi, Mumbai, Hyderabad dan Bengaluru, dengan wartawan Reuters di Lapangan Terbang Delhi menyaksikan suasana kelam-kabut di kaunter IndiGo apabila kemarahan penumpang semakin memuncak.

Jurucakap Lapangan Terbang Bengaluru memaklumkan sebanyak 62 penerbangan IndiGo dibatalkan pada Rabu.

Gangguan terbaharu itu mencetuskan persoalan terhadap cabaran kerajaan India dalam mengimbangi kepentingan industri penerbangan dengan kebajikan juruterbang, ketika negara itu berharap kepada lonjakan sektor penerbangan bagi menyokong agenda pembangunan lebih luas.

Ia juga susulan kejadian gangguan operasi di Lapangan Terbang Delhi bulan lalu yang menyebabkan ratusan penerbangan tertangguh.

Setakat ini, tidak jelas mengapa kesan besar perubahan peraturan itu hanya dirasai pada minggu ini, namun pihak IndiGo berkata gabungan beberapa faktor telah memberi kesan berganda yang sukar dijangka.

IndiGo yang menguasai lebih 60 peratus bahagian pasaran domestik India mengendalikan lebih 2,200 penerbangan sehari dan giat mengembangkan operasi antarabangsa bagi mencabar dominasi Air India.

Data kerajaan menunjukkan kadar ketepatan masa (on-time performance) IndiGo pada Selasa lalu merosot kepada hanya 35 peratus, terendah antara semua syarikat penerbangan India, berbanding purata melebihi 80 peratus sepanjang tahun ini di lapangan terbang utama negara itu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE