fb fb fb fb fb

Lebih 140 serangan siber terhadap penganjuran Sukan Olimpik

Agensi keselamatan siber Perancis berwaspada terhadap serangan yang berpotensi mengganggu jawatankuasa penganjur, tiket atau pengangkutan/ BERNAMA

PARIS, 14 Ogos- Pihak berkuasa Perancis berkata lebih daripada 140 serangan siber dilaporkan semasa Sukan Olimpik Paris berlangsung namun tiada satu pun daripadanya mengganggu kelancaran sukan itu.

Menjelang dan sepanjang Sukan Olimpik, agensi keselamatan siber Perancis telah meningkatkan pemantauan terhadap serangan yang berpotensi mengganggu jawatankuasa penganjur, tiket atau pengangkutan.

Antara 26 Julai dan 11 Ogos, agensi keselamatan siber kerajaan Anssi merekodkan 119 laporan yang sepadan dengan "peristiwa keselamatan" berimpak rendah dan 22 insiden di mana "seseorang berniat jahat" berjaya menyasarkan sistem maklumat mangsa.

Serangan itu menyasarkan entiti kerajaan terutama melibatkan sukan, pengangkutan dan infrastruktur telekomunikasi, kata agensi itu.

Menurut Anssi, satu pertiga daripadanya adalah insiden masa henti, separuh daripadanya disebabkan oleh serangan penafian perkhidmatan yang direka untuk mengatasi pelayan.

Insiden siber lain adalah berkaitan cubaan pendedahan data

"Semua gangguan siber yang berlaku dalam tempoh ini secara amnya memberi kesan yang rendah", kata Anssi.

Grand Palais, yang menganjurkan acara Olimpik di Paris, dan sekitar 40 muzium lain di Perancis menjadi mangsa serangan perisian tebusan pada awal Ogos, tetapi ini tidak menjejaskan mana-mana sistem maklumat yang terlibat dalam kejohanan itu, menurut Anssi.

Ransomware mengeksploitasi kelemahan keselamatan untuk menyulitkan dan menyekat sistem komputer, menuntut wang tebusan daripada pengguna atau organisasi untuk membuka kuncinya.

Semasa Olimpik Tokyo yang ditangguhkan akibat pandemik yang diadakan pada 2021, penganjur melaporkan 450 juta operasi sedemikian iaitu dua kali lebih banyak daripada semasa Sukan Olimpik London 2012.

Menjelang Sukan Olimpik Paris, pengarah teknologi dan sistem maklumat untuk Sukan Paris, Marie-Rose Bruno berkata beliau menjangkakan "lapan hingga 10 kali ganda lebih banyak" serangan siber berbanding Sukan Olimpik di Tokyo.-AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI