fb fb fb fb fb

Lebih 12 orang awam maut dalam serangan di sempadan Afghanistan–Pakistan

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan / REUTERS

KANDAHAR, 15 Oktober -Lebih 12 orang awam terbunuh dalam pertempuran baharu antara pasukan Afghanistan dan Pakistan di Spin Boldak awal pagi tadi.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mendakwa serangan oleh Pakistan itu turut mencederakan lebih 100 orang.

Ketua Hospital Spin Boldak, Abdullah Jan berkata, kebanyakan mangsa adalah orang awam.

“Majoriti yang cedera ialah wanita dan kanak-kanak. Kesemua mangsa dibawa ke sini untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke Kandahar,” katanya.

Sementara itu, pegawai media Spin Boldak yang juga anggota Taliban, Hafez Haqmal mendakwa, pasukan mereka melancarkan serangan balas terhadap Pakistan.

Menurutnya, beberapa kubu tentera Pakistan berjaya dikuasai pejuang Taliban.

Pihak berkuasa Pakistan pula menuduh Taliban memulakan pertempuran dan memaklumkan empat orang awam di pihak mereka cedera.

Konflik sempadan sepanjang 2,600 kilometer itu bukan perkara baharu, namun pertempuran minggu lalu disifatkan paling buruk sejak Taliban mengambil alih Kabul pada 2021.

Akibatnya, beberapa lintasan sempadan ditutup, menyebabkan perdagangan terhenti dan ratusan lori sarat dengan barangan terkandas di kedua-dua belah sempadan.

Pakistan merupakan sumber utama makanan dan barangan asas untuk Afghanistan yang miskin dan bergantung kepada import.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN