fb fb fb fb fb

Lebih 100 kedai ramen di Jepun dijangka bankrap

FOTO REUTERS

TOKYO, 5 Ogos - Kebankrapan kedai ramen yang menyajikan mi Jepun mencatat peningkatan mendadak dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, dan menunjukkan kemungkinan lebih 100 kedai muflis menjelang akhir 2024, menurut tinjauan terkini sebuah syarikat penyelidikan kredit, lapor Xinhua.

Jumlah keseluruhan kedai ramen yang bankrap dari Januari hingga Julai adalah 49, tertinggi sejak 2014, menurut laporan terkini Teikoku Databank Jepun.

Angka ini, yang menunjukkan hampir dua kali ganda peningkatan tahunan, membunyikan amaran di seluruh sektor berkenaan kerana jumlah kebankrapan tahunan tertinggi yang direkodkan adalah 54 pada 2020 dan 53 pada 2023.

Di sebalik lonjakan ini adalah kos bahan-bahan ramen yang meningkat, menurut Teikoku Databank, yang analisis kosnya bagi ramen berasaskan tulang babi di Tokyo mendedahkan bahawa kos pengeluaran setiap mangkuk telah meningkat lebih daripada 10 peratus sejak Jun 2022.

Kenaikan ini didorong oleh harga daging babi dan mi yang melambung serta peningkatan kos utiliti.

"Banyak kedai tidak mampu menanggung kadar kenaikan harga bahan-bahan yang semakin pantas. Malah, kedai yang telah menaikkan harga untuk mengimbangi kos telah melihat penurunan dalam kehadiran pelanggan, yang membawa kepada penutupan dan kebankrapan," menurut laporan itu.

Menghadapi tekanan kos yang teruk, angka tahunan kebankrapan kedai ramen dijangka melebihi 100 untuk tahun ini, katanya. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF