fb fb fb fb fb

Larikan diri ke Paraguay, bekas polis Brazil ditahan di lapangan terbang

FOTO AFP

ASUNCION, 27 Disember - Bekas ketua polis Brazil, Silvinei Vasques, yang melarikan diri selepas disabitkan bersalah sebagai sekutu dalam perbicaraan cubaan rampasan kuasa bekas presiden, Jair Bolsonaro, telah ditangkap dan diusir dari Paraguay, menurut sumber polis pada Jumaat.

Vasques, 50, bekas ketua polis lebuh raya Brazil, dituduh mengerahkan pegawai untuk menghalang pengundi di kawasan berhaluan kiri daripada mengundi pada pilihan raya 2022 yang dimenangi oleh presiden kiri, Luiz Inacio Lula da Silva.

Beliau ditahan pada 2023 dan diletakkan di bawah pengawasan dengan dikenakan gelang kaki elektronik sementara menunggu perbicaraan.

Vasques dijatuhi hukuman lebih 24 tahun penjara pada awal bulan ini , yang sepatutnya dijalankan di bawah tahanan rumah, menyebabkan beliau melarikan diri dari Brazil.

Media Brazil melaporkan bahawa Vasques mematahkan gelang kaki elektronik dan memandu sendiri ke sempadan Paraguay.

Beliau dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Silvio Pettirossi ketika cuba menaiki penerbangan ke El Salvador menggunakan dokumen palsu.

Selepas dihantar kembali ke Brazil, hakim memerintahkan agar beliau dihantar ke penjara, menamatkan haknya menjalani tahanan rumah.

Bekas presiden Bolsonaro, 70, kini menjalani hukuman 27 tahun penjara selepas disabitkan bersalah memimpin plot untuk menghalang Lula daripada mengambil alih jawatan.

Bolsonaro pernah berada di bawah tahanan rumah sebelum dimasukkan ke penjara selepas cuba memotong gelang pemantauan yang dianggap sebagai cubaan melarikan diri.

Pada Khamis, beliau menjalani pembedahan hernia. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD