PERTH, 9 Disember -Klinik Australia bersedia hadapi lonjakan kes ketagihan skrin menjelang larangan media sosial terhadap pengguna bawah 16 tahun yang berkuat kuasa 10 Disember.
Klinik Gangguan Permainan Video di Hospital Fiona Stanley menjadi pusat rujukan utama selepas menerima lebih 350 pesakit sejak 2022, termasuk kanak-kanak seawal lima tahun.
Ketua klinik, Dr Daniela Vecchio berkata, kes ketagihan skrin semakin meruncing dalam kalangan remaja.
“Kami melihat remaja yang mengasingkan diri, enggan ke sekolah dan marah apabila penggunaan skrin dikawal.
Ramai ibu bapa datang dalam keadaan tertekan kerana mereka sudah kehabisan cara,” katanya.
Tambah beliau, klinik berkenaan bersedia memantau sebarang peningkatan kes sepanjang cuti hujung tahun apabila larangan mula berkuat kuasa.
Beliau turut menyokong larangan media sosial itu tetapi menegaskan ia hanya sebahagian daripada penyelesaian.
Inisiatif tersebut perlu digandingkan dengan pendidikan kandungan berbahaya serta perubahan pada reka bentuk aplikasi.
Sementara itu, seorang remaja 14 tahun yang sedang menerima rawatan memberitahu, kehidupan hariannya banyak bergantung pada platform digital.
“Bila larangan bermula nanti, memang terasa.
Saya selalu ikuti perkembangan permainan, tengok YouTube dan berhubung dengan kawan melalui panggilan dalam talian. Itu rutin yang saya buat sejak sekian lama,” katanya.
Ibunya berkata, keluarga mula mendapatkan bantuan apabila anaknya kurang tidur, tidak makan dan mudah beremosi sehingga menjejaskan rutin harian.
Bekas pesakit, Gabriel, 29 tahun pula berkata, rawatan yang diterimanya membantunya membina semula hubungan dalam dunia sebenar.
“Saya dulu rasa lebih selamat di sebalik skrin. Bila dapat bantuan, saya mula nampak yang saya boleh urus hidup tanpa bergantung sepenuhnya pada permainan dan media sosial,” katanya.