Mexico, 7 Januari - Sekurang-kurangnya lapan penjenayah disyaki terbunuh selepas pasukan keselamatan bertempur dengan kumpulan bersenjata pada Isnin di salah satu negeri paling ganas di Mexico.
Tiga anggota polis dilaporkan cedera, menurut pihak berkuasa.
Pertempuran senjata api awal pagi itu berlaku semasa rondaan keselamatan di perbandaran Yuriria, negeri Guanajuato sebuah kawasan perindustrian di tengah Mexico yang sering menjadi medan pertempuran kartel dadah.
"Hasil daripada operasi ini, tiga anggota polis negeri mengalami kecederaan, namun tidak serius, manakala lapan penyerang disyaki maut selepas pihak keselamatan melakukan serangan scara sah mengikut undang-undang," kata jabatan keselamatan negeri Guanajuato dalam satu kenyataan.
Dalam operasi itu sebanyak 12 senjata api, beberapa kenderaan curi, dan jaket kalis peluru dirampas, menurut kenyataan itu.
Keganasan di Guanajuato dikaitkan dengan konflik berterusan antara kumpulan tempatan Santa Rosa de Lima dan kartel Jalisco Generasi Baharu, salah satu kartel paling berkuasa di negara Amerika Latin itu.
Sejak kerajaan Mexico mula menggunakan tentera untuk memerangi penyeludupan dadah pada tahun 2006, lebih daripada 450,000 orang telah terbunuh akibat keganasan berkaitan dadah, menurut angka rasmi. - AFP