fb fb fb fb fb

Gempa bumi kuat di Tibet ragut 32 nyawa

FOTO AFP

BEIJING, 7 Januari - Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan banyak bangunan runtuh akibat gempa bumi kuat yang melanda wilayah terpencil Tibet pada Selasa, menurut laporan media rasmi.

Gegaran turut dirasai di ibu negara Nepal, Kathmandu.

Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC) gempa tersebut melanda daerah Dingri dengan magnitud 6.8 berhampiran sempadan dengan Nepal pada jam 9:05 pagi waktu tempatan (0105 GMT).

Bagaimanapun, Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa tersebut sebagai magnitud 7.1.

“Daerah Dingri dan kawasan sekitarnya mengalami gegaran yang sangat kuat, dan banyak bangunan berhampiran pusat gempa telah runtuh,” kata penyiar rasmi CCTV.

“Setakat ini, 32 orang telah disahkan meninggal dunia dan 38 cedera,” lapor CCTV.

Hingga pukul 10.00 pagi, beberapa gegaran susulan direkodkan, dengan gegaran terbesar berukuran magnitud 4.4.

Agensi berita Xinhua melaporkan bahawa pihak berkuasa tempatan sedang berhubung dengan beberapa pekan di daerah tersebut untuk menilai kesan gempa.

Daerah beraltitud tinggi di wilayah Tibet ini menempatkan kira-kira 62,000 penduduk dan terletak di bahagian China Gunung Everest.

Walaupun gempa bumi merupakan perkara biasa di rantau ini, gempa pada Selasa merupakan yang paling kuat direkodkan dalam radius 200 kilometer dalam tempoh lima tahun terakhir, menurut CENC.

Selain Kathmandu, kawasan sekitar Lobuche di Nepal, di pergunungan tinggi berhampiran Everest turut merasai gegaran dan gegaran susulan.

"Ia bergegar dengan kuat di sini, semua orang berjaga, tetapi kami belum tahu mengenai sebarang kerosakan," kata pegawai kerajaan Jagat Prasad Bhusal di wilayah Namche, Nepal, yang terletak berhampiran Everest. - AFP

TETITIA YUSOFF