fb fb fb fb fb

Biden beri penghormatan kepada mangsa tragedi rempuhan di New Orleans

FOTO AFP

NEW ORLEANS, 7 Januari- Presiden AS Joe Biden, bersama isterinya Jill, pada Isnin melawat Bourbon Street untuk memberi penghormatan kepada mangsa serangan rempuhan trak pada Hari Tahun Baharu yang mengorbankan 14 orang di New Orleans.

Pasangan presiden itu singgah di memorial sementara berhampiran kawasan pesta pelancongan popular di "Big Easy", di mana suspek, Shamsud-Din Jabbar, memandu trak pikapnya dan merempuh orang ramai.

Selepas Wanita Pertama meletakkan bunga di lokasi kejadian, pasangan itu tunduk seketika untuk bertafakur.

Mereka turut bertemu dengan mangsa yang terselamat, keluarga mangsa yang terkorban dan pegawai penguat kuasa undang-undang yang terkesan dengan serangan itu sebelum menghadiri upacara peringatan di Katedral St. Louis.

"Biden telah meminta sumber tambahan persekutuan untuk membantu bandar New Orleans membuat persiapan bagi acara besar akan datang," kata jurucakap White House, Karine Jean-Pierre, pada Isnin semasa dalam penerbangan Air Force One ke New Orleans.

Acara tersebut termasuk Mardi Gras, karnival selama berminggu-minggu yang akan berakhir pada 4 Mac, dan kejohanan Super Bowl NFL pada 9 Februari.

Serangan pada Hari Tahun Baharu itu masih disiasat oleh FBI, yang telah mengisytiharkannya sebagai tindakan keganasan.

Jabbar, seorang veteran tentera AS yang meninggal dunia akibat ditembak polis selepas serangan tersebut, sebelum ini menyatakan sokongannya kepada kumpulan IS di media sosial.

Bendera IS turut ditemui dipasang pada tiang di bahagian belakang kenderaan yang digunakan dalam serangan maut itu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE