WASHINGTON, 7 Januari - Amerika Syarikat mencatatkan kematian pertama akibat selesema burung (H5N1), lapor pihak berkuasa kesihatan Louisiana pada Isnin.
Mangsa, berusia lebih 65 tahun mempunyai masalah kesihatan sedia ada dan risiko kepada umum masih dinilai "rendah."
Pesakit tersebut telah dirawat di hospital sejak pertengahan Disember selepas diumumkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) sebagai kes serius pertama jangkitan manusia akibat virus H5N1 di negara itu.
“Walaupun risiko kesihatan awam bagi orang ramai kekal rendah, mereka yang bekerja dengan burung, ayam, atau lembu, atau yang terdedah kepada haiwan ini secara rekreasi, berisiko lebih tinggi,” kata Jabatan Kesihatan Louisiana dalam satu kenyataan.
Mangsa dilaporkan dijangkiti H5N1 selepas terdedah kepada gabungan kawanan burung bukan komersial di belakang rumah dan burung liar. Tiada jangkitan H5N1 lain atau bukti penularan dari manusia ke manusia dikesan di negeri itu.
Kematian itu diumumkan hanya beberapa hari selepas kerajaan persekutuan memperuntukkan tambahan $306 juta untuk memperkukuh program pemantauan H5N1 dan penyelidikan.
Langkah tersebut bertujuan menangani kritikan terhadap maklum balas pentadbiran Presiden Joe Biden terhadap isu yang semakin membimbangkan ini. - AFP