BEIJING, 7 Januari - Gempa bumi kuat yang melanda kawasan terpencil Tibet, China telah meragut sekurang-kurangnya 53 nyawa pada Selasa, lapor media rasmi.
Gegaran turut dirasakan di ibu negara Nepal, Kathmandu, dan beberapa bahagian di India dengan menyebabkan banyak bangunan musnah.
Pasukan penyelamat dilihat memasuki bangunan yang runtuh untuk mencari mangsa sambil memberikan selimut tebal kepada penduduk tempatan bagi melindungi mereka daripada kesejukan.
Rakaman daripada CCTV juga menunjukkan orang ramai panik melarikan diri ketika gegaran berlaku.
Di bandar Lhatse, video menunjukkan serpihan berselerakan di hadapan kedai-kedai di tepi jalan.
Gempa bumi dengan magnitud 6.8 itu melanda daerah Dingri berhampiran sempadan dengan Nepal pada pukul 9:05 pagi waktu tempatan (0105 GMT), menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC). Sementara itu, Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa dengan magnitud 7.1.
"Setakat tengah hari Selasa, 53 orang telah disahkan meninggal dunia dan 62 cedera selepas gempa bumi bermagnitud 6.8 menggegarkan Daerah Dingri di bandar Xigaze, Wilayah Autonomi Xizang," lapor agensi berita Xinhua.
Lebih 1,000 rumah mengalami pelbagai tahap kerosakan, tambahnya.
"Daerah Dingri dan kawasan sekitarnya mengalami gegaran yang sangat kuat, dan banyak bangunan berhampiran pusat gempa telah runtuh," kata CCTV. - AFP