fb fb fb fb fb

Lapan maut, 80 cedera dalam letupan kilang bunga api India

Anggota penyelamat dan penduduk tempatan berkumpul berhampiran kilang mercun susulan letupan di daerah Harda di negeri Madhya Pradesh, India/ AFP

NEW DELHI, 6 Februari- Sekurang-kurangnya lapan orang maut manakala 80 lagi cedera dalam letupan besar di sebuah kilang bunga api di India hari ini.

Rakaman video yang disiarkan menerusi stesen televisyen tempatan menunjukkan api marak selepas letupan di kilang berkenaan, memaksa berpuluh-puluh ambulans dikerahkan ke tempat kejadian.

Bantuan helikopter tentera juga dikerahkan dalam operasi bagi memindahkan mangsa yang cedera.

Pegawai kanan polis daerah, Rajeshwari Mahobia, mengesahkan lapan kematian setakat ini dan sekitar 80 orang cedera dalam letupan di kilang yang terletak di Harda dekat Madhya Pradesh.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa angka kematian mungkin akan meningkat.

Ketua Menteri Madhya Pradesh, Mohan Yadav, menlahirkan rasa sedih apabila menerima laporan mengenai letupan itu.

Beliau berkata pihaknya memanggil pegawai perubatan di unit melecur hospital utama berdekatan untuk melakukan persiapan yang diperlukan.

"Ambulans sedang dikejarkan ke Harda dari kawasan sekitar dan tentera telah dihubungi untuk mengatur helikopter," kata menerusi catatan di platform X.

Ketika ini, sekurang-kurangnya 20 ambulans berada di lokasi kejadian dengan 50 lagi bakal dikerahkan ke lokasi sama untuk membantu memberi rawatan kepada mangsa yang cedera.

Mengenai keadaan di hospital daerah Harda setakat ini, pakar bedah, Dr Manish Sharma, berkata kemudahan kesihatan itu dibanjiri banyak mangsa untuk mendapatkan rawatan.

"Kami merekodkan lapan kematian di hospital ini. Seramai 90 orang telah dimasukkan ke sini setakat sekarang. Kami juga telah merujuk 15 daripada mereka ke hospital yang lebih besar.

"Memandangkan lebih ramai orang diselamatkan dari tapak itu, mereka terus dibawa ke sini," katanya.

Dalam pada itu, pegawai kanan bomba daerah, Kailash Chand Parte, yang menyelaras usaha menyelamat berkata anggotanya sedang memadamkan api yang marak.

Katanya, terdapat sekitar 200 hingga 300 orang bekerja di kilang itu namun tidak dapat dipastikan berapa ramai masih berada dalam premis berkenaan ketika letupan berlaku.

"Api masih belum berjaya dikawal dan kami mempunyai kira-kira 15 jentera bomba dan ramai penyelamat di lokasi," katanya sambil menambah terdapat sekurang-kurangnya 10 bangunan di sekitar kompleks tempat letupan berlaku.

Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi, bersimpati dengan apa yang berlaku dan kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan bernilai AS2,400 (RM11,435) bagi keluarga mangsa korban sebagai pampasan.

Selain itu, beliau juga mengumumkan bantuan bernilai AS$600 (RM2,858) kepada mangsa yang cedera.-AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI