fb fb fb fb fb

Kemarahan terhadap kerajaan meluap-luap pada peringatan ulang tahun gempa bumi​ Turkiye

Orang ramai berkumpul untuk memperingati ulang tahun setahun gempa bumi yang dahsyat dan mengingati keluarga dan rakan mereka yang hilang, di Hatay, Turkiye, 6 Februari 2024/ REUTERS

HATAY, 6 Februari- Lebih 10,000 orang berhimpun pada awal pagi tadi untuk memprotes kerana tidak berpuas hati dan berang dengan kecuaian kerajaan Turkiye menangani bencana gempa bumi dahsyat yang sudah setahun melanda tenggara negara itu.

Gegaran paling dahsyat dalam sejarah moden Turkiye mencecah kekuatan 7.8 magnitud, membuatkan sebahagian bandar di tenggara negara itu yang bersempadan dengan Syria musnah.

Bencana itu mengakibatkan lebih 50,000 orang maut di Turkiye, manakala kira-kira 5,900 di Syria termasuk menyebabkan berjuta-juta kehilangan tempat tinggal.

Di wilayah Hatay di tenggara Turkiye paling teruk dilanda bencana itu, orang ramai mendesak pegawai dalam kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) meletak jawatan.

Keadaan itu membuatkan pegawai yang sepatutnya hadir dalam majlis memperingati bencana itu di tugu peringatan tidak hadir kerana mereka dicemuh hadirin yang berkumpul di situ.

Di dataran utama kota Hatay, ada peserta protes yang menyindir Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca.

"Adakah sesiapa boleh mendengar suara saya?," kata seorang peserta protes yang mengulangi kata-kata Fahrettin yang pernah berkata demikian sewaktu memanggil mangsa terperangkap di bawah runtuhan ketika orang ramai menunggu berhari-hari lamanya sebelum bantuan akhirnya tiba.

Ada yang mendakwa, ramai penduduk yang maut bukan kerana bangunan runtuh, sebaliknya mereka terpaksa menunggu sekian lama kerana terperangkap di bawah runtuhan dalam kesejukan.

Selesai majlis memperingati bencana itu, orang ramai membaling bunga ke dalam Sungai Asi yang mengalir melalui bandar.

Berkongsi pengalaman semasa bencana berlaku, Merve Gursel, yang kehilangan beberapa ahli keluarga memanggil nama mereka ketika dia melemparkan bunga ke dalam sungai.

"Tiada sesiapa bersama orang-orang ini pada hari itu. Kesakitan orang-orang ini ialah mereka yang tidak dapat diselamatkan.

"Kesakitan orang-orang ini ialah mereka tidak dapat mendengar suara mereka.

"Protes ini adalah mengulangi kesakitan mereka. Peringatan ini menunjukkan betapa ramai orang menderita. Tidak ada cara untuk menggambarkan bagaimana untuk menebus kesakitan ini. Hati orang -orang itu berdarah," katanya.

Nesibe Duzgun berkata, dia melemparkan bunga ke dalam sungai untuk ditujukan kepada semua insan yang dikenali dan tindakan itu menyatukan penduduk Hayat.

Seorang penduduk Hayat, Nurul Sabah Aksu, mendakwa kerajaan bertindak meninggal penduduk bandar itu untuk mati sambil mempersoal di mana pihak berkuasa ketika itu.

"Beribu-ribu orang mati di sini. Di mana mereka? Kenapa mereka tinggalkan Hatay begini? Kenapa mereka lupakan kita," soalnya.

Sementara itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dalam satu kenyataan di platform X berkata kesakitan kehilangan insan tersayang akibat gempa bumi masih segar sehingga sekarang ibarat seperti setahun yang lalu.

Katanya, kerajaan terus melangkah ke hadapan selepas melalui malapetaka yang digelar 'bencana abad ini'.

"Perpaduan abad ini ditunjukkan dalam menghadapi bencana abad ini," katanya. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI