fb fb fb fb fb

Lapan jam tangan Michael Schumacher dilelong lebih RM20 juta

FOTO AFP

Geneva, 15 Mei- Lapan utas jam tangan mewah milik bekas juara dan legenda Formula Satu (F1), Michael Schumacher dijual dengan harga AS$4.4 juta  (RM20.6 juta) dalam sesi lelongan di Christie, di sini, semalam.

Dalam lelongan itu, seutas jam jenama Patek Philippe berwarna keemasan dan merah jambu dijual dengan harga termahal iaitu AS$2.7 juta.

Seutas lagi dijual pada harga AS$1.6 juta yang merupakan pemberian kepada bintang lumba kereta Jerman itu oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari dan bekas badan induk sukan permotoran Presiden FIA, Jean Todt sebagai hadiah Krismas pada 2004, ketika Schumacher merupakan kuasa utama dalam F1.

Lelongan berkenaan diadakan ketika ulang tahun ke-30 kemenangan pertama Schumacher dalam Kejuaraan Pemandu F1 pada tahun 1994.

Juara dunia F1 tujuh kali itu adalah pengumpul jam tangan mewah sehingga kemalangan ski yang dialaminya pada Disember 2013.

Sejak tragedi itu, Schumacher, 55, tidak lagi kelihatan di khalayak ramai. -AFP

SITI AISHAH MD ISA