Quito, 21 September - Mahkamah Perlembagaan Ecuador pada Sabtu menggantung dekri Presiden Daniel Noboa yang mahu menubuhkan badan khas bagi mengetatkan undang-undang menentang pengedaran dadah dan jenayah terancang.
Keputusan itu kekal sementara mahkamah menilai lima tuntutan yang mendakwa dekri berkenaan tidak berperlembagaan.
Ia sekali gus menambah ketegangan antara Noboa dengan institusi kehakiman yang sebelum ini menghalang beberapa dasar beliau atas alasan hak asasi.
Dalam kenyataannya, mahkamah menegaskan ia bukan “musuh rakyat” sebaliknya pelindung hak mereka, walaupun berdepan bantahan besar-besaran yang digerakkan presiden.
Noboa sebelum ini mencadangkan referendum bagi menubuhkan Perhimpunan Perlembagaan baharu untuk merangka undang-undang lebih keras mengekang kartel dadah, namun langkah itu cuba memintas semakan awal oleh mahkamah.
Ecuador kini menjadi titik transit utama, dengan 70 peratus kokain dunia berlepas dari pelabuhannya, menjadikan negara itu sasaran kumpulan jenayah antarabangsa.
Noboa, sekutu rapat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dipilih semula pada April lalu berikutan pendekatan tegasnya terhadap keganasan kartel yang telah menukar Ecuador daripada antara negara paling selamat di Amerika Latin kepada antara paling berbahaya. - AFP