STOCKHOLM, 27 Mei- Kerajaan Sweden akan memanggil Duta Israel bagi menyuarakan bantahan terhadap tindakan rejim Zionis yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, memaklumkan bahawa negaranya bersama beberapa negara Eropah telah menyatakan pendirian tegas berhubung isu tersebut.
“Kami tidak menyokong tindakan kerajaan Israel yang kini menyekat akses ke Gaza. Langsung tidak,” katanya seperti dipetik agensi berita TT, dan disahkan oleh jurucakap beliau kepada AFP.
Kristersson turut menyokong penilaian semula perjanjian perkaitan antara Kesatuan Eropah (EU) dan Israel, yang sedang dikaji bagi menilai tahap pematuhan Israel terhadap hak asasi manusia dan prinsip demokrasi.
"Masih belum ada kata sepakat, namun banyak negara sedang menuju ke arah itu"” ujarnya.
Menurut diplomat Perancis, 17 daripada 27 negara anggota EU menyokong semakan semula perjanjian tersebut, namun Jerman terus mempertahankannya sebagai forum penting bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan Gaza.
Sekatan Israel sejak awal Mac lalu telah mencetuskan krisis kekurangan makanan dan ubat-ubatan di Gaza.
Bagaimanapun, sekatan itu dilonggarkan minggu lalu susulan tekanan serta kecaman antarabangsa. - AFP