fb fb fb fb fb

Euro berpotensi jadi mata wang global - ECB

Foto Hiasan / Reuters

BERLIN, 27 Mei – Mata wang euro berpotensi untuk menjadi alternatif utama kepada dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus memberi manfaat besar kepada blok 20 negara Kesatuan Eropah (EU).

Ini sekiranya kerajaan-kerajaan dalam blok tersebut dapat memperkukuh struktur kewangan dan keselamatannya.

Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde berkata dasar ekonomi AS yang semakin tidak menentu telah menyebabkan pelabur global mengurangkan pegangan terhadap aset dalam dolar sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Namun begitu, ramai daripada mereka lebih cenderung memilih emas kerana tidak melihat kewujudan alternatif yang setara.

“Malah, peranan global euro kekal pada tahap yang hampir tidak berubah selama beberapa dekad kerana institusi kewangan EU masih belum lengkap, manakala kerajaan-kerajaan anggota pula dilihat kurang berminat untuk melangkah ke arah integrasi yang lebih menyeluruh,” katanya dalam syarahan di Berlin.

Lagarde berkata perubahan dalam landskap ekonomi global ketika ini membuka ruang kepada kemunculan satu ‘detik global euro’, namun menegaskan “pengaruh euro tidak akan meningkat secara automatik dan perlu diperoleh”.

Tambah beliau, bagi merealisasikan potensi tersebut, Eropah memerlukan pasaran modal yang lebih mendalam dan cair, asas perundangan yang kukuh serta komitmen terhadap perdagangan terbuka yang disokong dengan keupayaan keselamatan.

Statistik terkini menunjukkan peranan dolar dalam rizab antarabangsa telah menyusut kepada 58 peratus, tahap terendah dalam beberapa dekad namun masih jauh mengatasi pegangan euro yang hanya sekitar 20 peratus.

Lagarde turut menggesa supaya euro dijadikan mata wang utama dalam urus niaga perdagangan antarabangsa, termasuk dalam proses penginvoisan.

Usaha tersebut, katanya boleh disokong dengan pemeteraian perjanjian perdagangan baharu, penambahbaikan sistem pembayaran rentas sempadan serta perjanjian kecairan antara bank pusat.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN