fb fb fb fb fb

Kebakaran tangki minyak, ganggu operasi loji penapis terbesar Ecuador

Foto AFP

ESMERALDAS, 27 Mei- Kebakaran tangki minyak di loji penapis terbesar Ecuador di wilayah Esmeraldas pada Isnin memaksa operasi dihentikan serta-merta bagi tujuan keselamatan.

Menurut syarikat minyak negara, Petroecuador, punca kebakaran masih belum diketahui dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Namun lima individu menerima rawatan akibat terhidu asap.

Polis Ecuador mengesahkan operasi pemindahan penduduk sekitar dijalankan, namun jumlahnya tidak diperincikan.

Menteri Tenaga, Ines Manzano dalam kenyataan di platform X memaklumkan keadaan terkawal, namun kebimbangan orang awam masih tinggi.

"Saya terdengar bunyi kuat sebelum kami semua lari menyelamatkan diri," kata Ramiro Medina, pekerja loji.

"Kami sangkakan bau berasal dari sekolah Jaime Hurtado yang sedang melakukan semburan racun serangga, tetapi kemudian kami sedar bau itu bau petrol," ujar Edgar Romero, wakil komuniti tempatan.

Petroecuador tidak menjelaskan jumlah bahan api yang berada dalam tangki semasa kebakaran berlaku.

Ecuador yang antara pengeluar minyak utama Amerika Selatan amat bergantung kepada hasil eksport petroleum, dengan pendapatan sekitar AS$8.6 bilion pada 2024 hasil jualan hampir tiga suku daripada 475,000 tong minyak sehari.

Negara itu turut berdepan gangguan pengeluaran sebelum ini akibat gangguan bekalan elektrik susulan kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun yang menjejaskan empangan hidroelektrik.

Mac lalu, lebih 25,000 tong minyak mentah bocor ke dalam tiga sungai akibat kebocoran saluran paip, memaksa eksport dihentikan buat sementara.

Walaupun dua lagi loji penapis sedia ada mempunyai kapasiti masing-masing 45,000 dan 20,000 tong sehari, kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan bahan api di seluruh negara masih mencukupi.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM