fb fb fb fb fb

Krisis bahan api: Pekerja pengangkutan Bolivia adakan protes

FOTO REUTERS

LA PAZ, 24 Oktober - Pekerja pengangkutan Bolivia menyekat jalan-jalan, di sini pada hari Rabu sebagai protes terhadap Presiden Luis Arce berikutan isu kekurangan bahan api yang tiada penyelesaian.

Pemandu kenderaan meletakkan kenderaan mereka di jalan-jalan utama, memaksa penduduk berjalan beberapa kilometer di lebuh raya untuk sampai ke destinasi mereka.

Kesatuan pengangkutan awam utama di bandar itu menyeru penutupan trafik selama 24 jam sebagai tindak balas terhadap krisis bahan api tersebut.

Kekurangan bahan api, termasuk petrol dan diesel menyebabkan penduduk terpaksa menunggu hingga 48 jam untuk mengisi semula bahan api, yang secara nyatanya mengganggu kehidupan harian mereka.

Kerajaan Bolivia menyalahkan kekurangan bahan api itu kepada sekatan jalan di wilayah tengah oleh penyokong bekas presiden Evo Morales, yang menuntut supaya siasatan terhadap Morales mengenai dakwaan penderaan seorang remaja ketika beliau memegang jawatan dihentikan.

Sejak 14 Oktober, penyokong Morales telah memenuhi lebuh raya utama yang menghubungkan Cochabamba dengan La Paz, Oruro, Sucre, Potosi, dan Santa Cruz.

Tindakan itu menjejaskan rantaian bekalan bahan api dan barangan keperluan lain dengan teruk.

Kerajaan Arce menganggarkan bahawa pada 22 Oktober lalu, sekatan-sekatan tersebut telah menyebabkan kerugian sebanyak $191 juta.

Pertikaian yang berterusan antara Morales dan Arce, yang semakin meruncing sejak akhir 2021, berpunca daripada perbezaan pendapat mengenai pentadbiran negara dan keperluan untuk memperbaharui kepimpinan nasional parti MAS. - REUTERS

TETITIA YUSOFF