KAZAN, 24 Oktober-Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri India, Narendra Modi, bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala serta kerjasama antara kedua-dua negara, selain menyelesaikan konflik demi memulihkan hubungan yang terjejas akibat pertempuran di sempadan Himalaya pada tahun 2020.
Kedua-dua pemimpin bertemu di luar sidang kemuncak BRICS di sini untuk rundingan rasmi pertama dalam tempoh lima tahun.
Ini sekali gus menandakan bahawa hubungan antara dua kuasa besar Asia itu mula pulih daripada ketegangan diplomatik yang tercetus di sempadan Himalaya yang masih dipertikaikan.
Meskipun mempunyai hubungan ketenteraan dan diplomatik yang tegang, India dan China masih terus mengekalkan hubungan perdagangan yang kukuh.
Perdamaian dijangka merangsang pelaburan China di India. India menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin telah mengarahkan pegawai mereka untuk mengambil langkah lanjut bagi menstabilkan semua aspek hubungan dua hala.
Pertemuan Xi dan Modi berlangsung dua hari selepas New Delhi mengumumkan ia mencapai perjanjian dengan Beijing untuk menyelesaikan perselisihan ketenteraan selama empat tahun di wilayah Ladakh, Himalaya.
Namun, tiada perincian mengenai perjanjian itu dikongsikan oleh kedua-dua pihak.
Kedua-dua negara perlu memperkukuh komunikasi dan kerjasama, menyelesaikan konflik serta perbezaan, dan mencapai impian pembangunan masing-masing.
Menurut laporan penyiar negara China, CCTV, Modi menyampaikan idea untuk memperbaiki dan mengembangkan hubungan dua hala, yang dipersetujui Xi secara prinsip, tambah CCTV tanpa memberikan butiran lanjut.
“Kami mengalu-alukan perjanjian mengenai isu-isu yang timbul sepanjang empat tahun lalu,” kata Modi kepada Xi dalam komen yang disiarkan oleh penyiar negara India, Doordarshan.
"Keutamaan kita haruslah untuk mengekalkan keamanan dan ketenangan di sempadan. Kepercayaan bersama, penghormatan bersama dan kepekaan bersama harus menjadi asas hubungan kita," tambah Modi.
Hubungan antara dua negara telah tegang sejak pertempuran di sempadan barat Himalaya pada tahun 2020 yang menyebabkan 20 tentera India dan empat tentera China terbunuh.
Kedua-dua negara telah meningkatkan kehadiran puluhan ribu tentera serta senjata di sepanjang sempadan yang dingin itu sepanjang empat tahun yang lalu.-REUTERS