fb fb fb fb fb

AS suarakan kebimbangan serangan Israel ke atas tentera Lubnan

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin/ Foto Reuters

WASHINGTON, 23 Oktober - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin menyuarakan kebimbangan terhadap rakan sejawatnya dari Israel Yoav Gallant mengenai serangan ke atas tentera Lubnan selepas tiga tentera terbunuh hujung minggu lalu.

Tentera Lubnan berkata bahawa serangan Israel telah menyasarkan kenderaan tentera di selatan negara itu, dengan Israel mendakwa mereka sedang menyerang kubu kuat Hizbullah.

Sekurang-kurangnya lapan tentera Lubnan terkorban sejak peperangan antara Israel dan Hizbullah bulan lalu.

Austin "menyuarakan kebimbangan mendalam tentang laporan serangan terhadap tentera Lubnan," kata jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa Austin "menekankan kepentingan mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan dan perlindungan tentera Lubnan dan pasukan UNIFIL," merujuk kepada pasukan pengaman PBB di Lubnan.

UNIFIL memberitahu bahawa Israel menyerang anggota mereka beberapa kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini. - AFP

TETITIA YUSOFF